Sebuah Pertemuan
بسم الله الرحمن الرحيم
Sepanjang hidup kita sebagai manusia, kita akan menghadapi terlalu banyak siri-siri pertemuan. Pertemuan pertama kita dengan dunia, pertemuan dengan orang yang kita cintai, pertemuan dengan jalan hidup yang kita pilih dan akhir sekali pertemuan dengan Allah yang menciptakan pertemuan-pertemuan yang indah ini. Setiap pertemuan dalam kehidupan kita berlaku dengan hikmah. Pasti ada rahsia disebalik setiap pertemuan yang berlaku.
Dalam banyak-banyak pertemuan dalam hidup aku, aku merindui pertemuan dengan diri yang aku cintai. Aku rindu untuk menggenggam semangat dan keyakinan yang aku pernah ada dahulu. Aku rindu untuk jadi berjaya, rindu untuk jadi kuat walauapapun yang berlaku dalam kehidupan aku. Aku pernah menjadi insan itu tetapi aku telah kehilangannya. Betapa ruginya aku, kehilangan permata yang paling bernilai dari kehidupan aku.
Kehilangan itu buat aku rasa kehidupan masa kini adalah sia-sia untuk aku. Allah! Berdosanya aku memikirkan bahawa hidup ini sia-sia, sedangkan Allah tidak pernah menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Allah telah mentakdirkannya berlaku ke atas aku untuk lihat bagaimana aku menyelesaikan misi kehilangan ini, mencari kembali diri aku yang hilang itu dan menjadikannya lebih baik daripada sebelum ini. Allah nak aku buat itu semua! ALLAH NAK AKU JADI LEBIH BAIK DARIPADA SEBELUM NI!
Aku lihat dan sedar bahawa semua itu sedang berlaku. Cuma, aku tak kejar peluang yang datang dan rebutnya sebelum terlepas. Aku biarkan peluang emas itu berlalu dan kemudian apabila peluang tersebut telah pergi, aku meracau, menyesal akan kebodohan sendiri yang tidak merebut peluang itu!
Demi Masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian.
Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
(Surah Al-Asr: 1-3)
Aku hidup berperang dengan masa. Aku tahu masa yang lepas tak akan dapat aku ulangi. Aku tahu masa sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk aku lakukan segala yang aku perlu usahakan. Aku tahu. Aku sentiasa berfikir tentang semua itu. AKU TAHU YANG AKU TAK CUKUP MASA! Allah! Tapi aku tak buat semua yang aku perlu buat! KENAPA???????
Kerana aku tidak meletakkan Allah dalam seluruh kehidupan aku. Aku hanya mencari DIA di saat aku susah dan aku perlukan bantuan DIA. Aku melupakan DIA dan kuasaNYA ke atas aku. Aku lupa bahawa DIA yang telah memberiku kemudahan dan kesenangan dalam hidup ini. Aku lupa bahawa miliknyalah segala yang ada di langit dan bumi. DAN... Aku lupa bahawa masa yang aku tak cukup itu juga adalah MILIKNYA! Aku tak ikhlas beriman kepada Allah. Aku percaya dan yakin dengan DIA di saat aku susah semata-mata. Bila aku senang, aku lupa semua tu. Aku lupa yang aku pernah susah dan meminta bantuan DARINYA. AKU LUPA SEMUA TU!
Perkara pokok yang paling utama ialah, AKU LUPA HAKIKAT AKU SEBAGAI MANUSIA!
Aku adalah manusia yang bersifat pelupa.
Aku adalah hamba ALLAH yang bergantung sepenuhnya kepada DIA.
Aku tidak berkuasa ke atas diriku tetapi aku diberi kekuatan untuk berusaha dan lakukan yang terbaik dalam hidup ini.
Terimalah hakikat bahawa aku adalah hamba ALLAH. Di saat kita benar-benar ikhlas dan redha menerima hakikat ini, kita akan temui kebahagiaan yang tidak ada tandingannya, iaitu, KEBAHAGIAAN MENCINTAI ALLAH YANG MENJADIKAN LANGIT DAN BUMI SERTA SEMUA ISI YANG ADA DI DALAMNYA!. Itulah cinta hakiki yang perlu diraih oleh semua orang dan itulah pertemuan yang paling aku rindukan. Semoga Allah mengizinkan aku untuk bertemu dengan kerinduanku itu dan memiliki kerinduan itu sehingga akhir hayat aku. Semoga Allah memberi hidayah dan taufikNYA ke atas aku, ahli keluargaku, sahabat-sahabatku dan semua daripada kita.
Amin YA RABBAL ALAMIN.
Seikhlas hati menulis,
Dr. Anis FIkriyah 'Ain
Ulasan
Catat Ulasan