Hakikat Cinta Sebenar

Prolog


Prolog…  
Aku sedar akan cara hidup aku selama ini, aku munafik, aku riak, aku sombong dan aku bongkak. Aku terlalu bangga dengan diri aku sendiri, sedangkan jiwa lain hanya memandang aku sebagai satu dinding yang kosong, tidak punya erti dan tidak mampu memberi inspirasi mahupun motivasi kepada mereka. Tetapi aku dengan bongkaknya, berdiri, bersuara lantang, membingitkan dunia kecilku dengan suara hodohku, memberitahu bahawa aku sentiasa berkhidmat kepadanya. Lihatlah betapa munafiknya aku!
Solatku, ibadahku penuh dengan cacat-celanya. Aku sendiri tidak punya sedikit perasaan takut atau gentar dengan kuasa Tuhan yang mampu menarik nyawaku pada bila-bila masa. Aku lena dibuai keseronokan dunia dan nafsu. Aku suka berangan untuk jatuh cinta dan memberikan seluruh hatiku kepada sesiapa sahaja yang aku rasakan ‘bertuah’. Aku menzalimi diriku sendiri. Aku rosakkan hati, minda dan jiwaku. Aku tewas dengan ajakkan dan belaian nafsu.
             Aku bangga untuk menjadi bahan kerlingan lelaki ajnabi. Meskipun zahirnya aku bertudung litup, berbaju labuh dan longgar tetapi hatiku dan jiwaku sendat, ketat dan nipis hingga terlihat segala-galanya. Aku menanti-nanti siapalah lelaki yang ingin melihat perhiasanku. Bodohnya aku!
 Aku mudah dipujuk rayu. Hatiku cenderung untuk mengikut kata-kata orang lain atas alasan untuk menjaga hati mereka. Aku suka apabila ditegur oleh mana-mana lelaki. Aku merasakan diri ini hebat, sempurna dan cantik sehinggakan lelaki-lelaki di luar sana terperasan akan kewujudan aku. Aku sanggup untuk bersembang dengan mereka sehingga lewat malam, membuang masa berjam-jam berborak di laman sosial. Tetapi apabila ditanya tentang solat, membaca Al-Quran, 5 minit pun payah. Inikan pula untuk lihat aku berteleku di atas tikar sejadah. Mahu terbalik dunia jika lihat aku seperti itu.
 Jiwa aku kotor, penuh dengan tahi-tahi kehidupan duniawi dan haruman-haruman palsu kenikmatan sementara. Ya Allah, aku terlalu hina di pandanganMu. Tidak ada sedikitpun cahaya dalam hati ini untuk menjadikan aku terlihat olehMu.
Aku anak derhaka. Kata-kata dan arahan ibuku, aku turuti dengan rasa terpaksa. Namun, masih bersisa rasa hormat untuknya. Tetapi, apabila aku berhadapan dengan ayahku, hancur dan hilang segala rasa hormat terhadapnya. Aku sanggup meninggikan suara kepadanya, berdebat dan mengutuknya. Aku tidak pernah puas hati dengan setiap tindak- tanduknya. Aku sentiasa merasakan bahawa dia salah.
Sedangkan di usia kecilku, dialah insan yang sentiasa memeluk aku, membacakan aku cerita, bersusah payah menjaga makan pakaiku, bersengkang  mata menjaga aku yang sakit, memberi keseronokan hidup kepada aku, mengajar aku membaca, menulis, solat dan memelihara aku daripada setiap bahaya yang mendatang. Tetapi, aku langsung tidak pernah ucapkan bahawa aku sayang padanya.
Orang yang selama ini bersusah payah untuk melihat aku berjaya, tetapi jasanya tidak sedikitpun aku hargai, bahkan aku terus-terusan menyakiti hatinya. Tidak pernah terfikirkah aku suatu hari di mana aku akan kehilanaganya? Tidakkah aku rasa bahawa saat yang bakal menjelang itu akan meragut separuh kebahagiaan hidupku? Dialah insan yang sedari kecil menjadi inspirasi hidupku. Tetapi kenapa tatkala aku melangkah dewasa, aku lupa akan kepayahannya membesarkan aku?
Ya Allah, berdosanya aku pada ayahku. Janganlah Kau ambil dia disaat aku sangat memerlukannya. Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk meluahkan rasa sayang aku kepada lelaki yang paling bermakna dalam hidup aku ini. Dialah insan yang menjadikan aku manusia, yang menjaga aku siang dan malam. Segala dosaku dia yang tanggung. Tergamaknya aku membelakangkan kewujudannya. “Daddy, kakak terlalu berdosa pada daddy”. Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk aku memohon ampun daripadanya agar kelak aku tidak menyesal apabila dia sudah tiada.
Dialah insan yang memahami kehendakku tetapi, kenapa aku tidak pernah ingin memahami kehendaknya? Ya Allah, janganlah jadikan aku dalam kalangan manusia yang rugi kerana mempunyai ibu bapa tetapi aku tidak pernah membahagiakan mereka.
            Tuhan, aku punya sekeping hati, tetapi hatiku kosong. Aku ingin mencariMu. Aku ingin memenuhkan ruang hatiku dengan namaMu. Aku ingin hidup dalam kasih sayangMu, ya Allah. Tetapi sehingga hari ini aku masih belum bertemu denganMu. Sujudku terasa kosong. Doaku terasa ringan. Tidak ada nafas dan rohnya. Bagaikan sebatang pohon yang kering , tidak bermanfaat dan tidak mampu memberi manfaat, begitulah umpamanya doa-doa dan ibadahku selama ini. Jiwa ini terlalu kosong.
Islamku hanya pada nama. Roh , minda dan jasadku tidak islam. Aku ibarat pemusnah agamaku sendiri. Agama yang paling suci dan satu-satunya agama yang diterima disisi Tuhan, tetapi aku sia-siakan nikmat itu. Aku dilahirkan Islam, ibu bapaku Islam, nenek moyangku juga Islam, tetapi aku menjadi seorang Islam hanya disebabkan keturunan dan nama. Tiada nilai Islam dalam diri ini. Ruginya aku! Jiwa ini sudah layu, sudah lama tidak disirami manisnya air mata keinsafan dan dibajai nilai sebenar menjadi seorang Islam. Aku sudah jauh terpesong dari duduk asalku sebagai Islam.
 Sudah tiba masanya aku pulang ke pangkuan agamaku agar aku bersedia apabila tiba saatnya aku dipanggil pulang oleh Tuhanku. Biarlah saat Dia tanyakan kepada ku, bagaimanakah aku manfaatkan masa mudaku, aku dapat menjawabnya dengan mudah. Wahai Tuhan, terimalah aku pulang kepada jalanMu. Janganlah Engkau menjauhkan aku; kembali ke jalan kekufuran kerana aku tidak mampu untuk menghadapi seksa nerakaMu. Aku hanya ingin meraih redha, kasih, cinta dan rindu Mu di sepanjang hidupku.





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Yaya dapat Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kuala Pilah.

Summary of 2 years

Kenapa Aku?!